Friday, June 26, 2015

Definisi Khuluk

DEFINISI KHULUK

            Khuluk menurut Kamus Dewan Edisi yang Keempat membawa maksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan bayaran menurut jumlah yang dipersetujui, tebus talak. Khuluk merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘menanggalkan’ atau ‘menghilangkan’. Khuluk menurut istilah fiqh pula maksudnya suatu perceraian berbayar dari isteri kepada suami dengan menggunakan lafaz talaq, khul’ atau tebus talaq.

 Perceraian menggunakan kaedah khuluk ini juga disebut sebagai ‘perceraian tebus talak’. Dari segi istilahnya khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri kepada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Cerai secara khuluk berlaku di mana seorang isteri sudah tidak berminat lagi kepada suaminya walaupun suaminya itu seorang yang baik. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai dengan isteri memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Maka, jika kadar tebusan itu dipersetujui, suami hendaklah melafazkan talak. Perceraian tersebut dipanggil khuluk atau dalam istilah lainnya tebus talak.

Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya kecuali dengan akad yang baru. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajarnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.
            Khuluk disyariatkan dengan berpandukan Al-Quran :
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya : “Tidak halal bagi kamu mengambil semula apa-apa yang diberikan kepada mereka sedikit pun (isteri yang diceraikan), kecuali kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menjalankan hukum Allah. Jika kamu (wali-wali) khuatir mereka tidak dapat menjalankan hukum Allah, maka kedua-duanya tidak berdosa tentang apa-apa bayaran (tebus talak) yang dibayarnya.” (Al-Baqarah:229).
            Khuluk diharuskan bagi mengelakkan isteri menderhaka kepada suaminya dan menyedarkan kedua-dua pihak akan kesilapan masing-masing. Selain itu, ia juga sebagai penghormatan kepada isteri iaitu isteri berhak bertindak mengikut peraturan yang betul untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Dalam perbahasan yang lain khuluk pada bahasa diertikan sebagai tanggal yang berasal daripada perkataan khala’ ats-tsauba yang bermaksud menanggalkan pakaian kerana isteri adalah pakaian suami dan suami adalah pakaian isteri sebagaimana disebut dalam firman Allah di dalam Al-Quran:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

“Mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka.”(Al- Baqarah:187).

Para pakar fiqh memberi definisi bahawa khuluk adalah seorang suami menceraikan isterinya dengan imbalan mengambil sesuatu darinya.
            Pengertian khuluk dari segi syarak ialah terjadinya perpisahan (perceraian) antara suami isteri dengan keredhaan daripada keduanya dan dengan pembayaran yang diserahkan oleh isteri kepada suaminya. Kata Syaikh Al-Bassam, Al- Khuluk ialah perceraian suami isteri dengan pembayaran yang diambil suami daripada isterinya atau dengan lafaz lain yang khusus. Oleh itu, khuluk menurut istilah syarak ialah perceraian yang diminta oleh isteri dari suaminya dengan memberikan ganti sebagai tebusan.

IT'S ME...!!!

IT'S ME...!!!
Assalamualaikum and hello to all my beloved readers , most of all thanks for reading my blog hope you will get ibrah from my posts...sorry for any mistakes done...if you have any problems,just leave the comments there..i'll try my best to share my knowledge with you...sharing is caring...thanks for visiting...salam ukhuwah..maassalamah wa ilalliqa'..!!!